Sabtu, 21 October 2017 
A+ R A-

Perutusan KSN Merangkap Penasihat Puspanita

 

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

 

Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing.  Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat Malaysia khasnya Ahli PUSPANITA yang terdiri daripada pegawai wanita dan isteri kepada penjawat awam lelaki, perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

 

Saya amat menghargai perjuangan PUSPANITA selama ini dan juga pencapaiannya dalam pelbagai bidang.  Saya beranggapan pencapaian PUSPANITA selaku satu-satunya kolaborasi penjawat awam wanita serta isteri kepada penjawat awam, amat membanggakan.  Dengan memenuhi tuntutan millennium dan globalisasi yang kian mencabar dengan penuh keyakinan PUSPANITA telah dengan sedaya upaya berusaha memenuhi keperluan ahli-ahlinya sebagai suri, ibu, baik yang bekerja atau yang mengurus rumahtangga sepenuhnya dan yang sedang bekhidmat mahupun yang sudah bersara.

Saya berharap sumbangan Ahli  PUSPANITA yang terdiri daripada wanita yang berjuang bukan sahaja untuk keluarga tetapi juga untuk komuniti, masyarakat dan negara dapat memajukan agenda pembangunan negara dan kemajuan perkhidmatan awam terutamanya dari segi membantu dan menyokong dasar dan pelaksanaan dasar kerajaan kearah penyampaian perkhidmatan awam yang unggul. 

 

Sehubungan itu, dalam melaksanakan program dan aktiviti yang dirancang, saya menyeru kepada ahli PUSPANITA agar turut ‘Merakyatkan PUSPANITA’ dengan meletakkan diri masing-masing dalam kedudukan orang yang menerima perkhidmatan. Dalam erti kata lain, sebagai penjawat awam, ataupun isteri kepada penjawat awam, ahli PUSPANITA juga merupakan rakyat. Sekiranya ahli PUSPANITA tidak melunaskan aktiviti berasaskan prinsip-prinsip produktiviti tinggi, cepat dan tepat, serta dengan inovatif dan penuh integriti, maka tiadalah manfaat yang dapat disampaikan. Justeru, PUSPANITA juga perlu berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dengan menekankan kepada aspek peningkatan pengetahuan secara berterusan serta hubungan kemanusiaan dan keprihatinan demi memastikan visi dan misi PUSPANITA dapat dicapai dengan cemerlang sejajar dengan misi dan visi pembangunan negara dan perkhidmatan awam.  

 

Akhir kata, saya berharap agar ahli PUSPANITA bersemangat dan komited dalam menjalankan aktiviti persatuan sebagaimana juga dalam melaksanakan tugas pejabat masing-masing demi melahirkan modal insan yang berdaya saing, berkualiti, berilmu dan bertaqwa baik dari sudut peranannya sebagai penjawat awam wanita dalam Perkhidmatan Awam mahupun isteri kepada penjawat awam, agar dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

 

Salam  hormat dari saya.    

                                                                                                                                                                                                                                   

Dato’ Sri Dr Ali bin Hamsa

Ketua Setiausaha Negara

Merangkap Penasihat PUSPANITA

 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Firefox, Chrome, Flock, Safari, Internet Explorer 7.0 dengan resolusi skrin 1024 x 768.

PUSPANITA Perak version 2 adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang
disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

 

 

 

Puspanita Negeri Perak,
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak,
Aras B, Bangunan Perak Darul Ridzuan,
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh, Perak.
Tel : 05-2531957 ext 5873
Fax : 05-2425502
puspanita[at]perak[dot]gov[dot]my