Perlembagaan Puspanita

  • PERKARA 1 - NAMA

    1.1 Persatuan ini dikenali dengan nama PERSATUAN SURI DAN ANGGOTA WANITA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA atau nama ringkasnya PUSPANITA dan selepas ini disebut sebagai “Persatuan”.

  • PERKARA 2 – ALAMAT BERDAFTAR

    2.1 Alamat berdaftar Persatuan ini ialah No. 5171, Jalan Hose, 50460 Kuala Lumpur atau di lain-lain tempat yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi dari semasa ke semasa.

    2.2 Alamat berdaftar Persatuan tidak boleh diubah tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan.

  • PERKARA 3 – TAFSIRAN

    3.1 “Suri” bermakna isteri anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan.

    3.2 “Anggota Wanita” bermakna anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan.

    3.3 “Perkhidmatan Awam” bermakna perkhidmatan Kerajaan di semua peringkat termasuk badan-badan berkanun.

  • PERKARA 4 – PENGERTIAN LOGO DAN BENDERA

    >Logo

    Bulan Bintang melambangkan negeri-negeri dalam Malaysia di mana ahli-ahli PUSPANITA dapat menyatupadukan tenaga. Buku melambangkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dipertingkatkan secara berterusan. Bunga Padi melambangkan perpaduan di kalangan ahli-ahli wanita berbilang kaum dalam perkhidmatan awam. Bunga Raya melambangkang peranan persatuan ke arah pencapaian aspirasi dan matlamat pembangunan negara. P dan Pa lambang kewanitaan. Warna Emas melambangkan kepentingan kualiti yang unggul sebagai teras kecemerlangan. Warna Ungu melambangkan kemuliaan sumbangan sukarela ahli-ahli.

    >Bendera

    Bendera Persatuan berlatarbelakangkan warna kuning. Di bahagian atas terdapat enam jalur berwarna ungu berselang dengan warna putih dan enam jalur berwarna ungu berselang dengan warna putih di bahagian bawah. Di tengah-tengah bendera terdapat logo Persatuan.

  • PERKARA 5 – PENAUNG

    5.1 Isteri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah Penaung kepada Persatuan ini.

  • PERKARA 6 – PENASIHAT

    6.1 Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara adalah Penasihat Persatuan ini.

  • PERKARA 7 – TUJUAN PERSATUAN

    7.1 Adalah untuk merapatkan perhubungan muhibah dan menyatupadukan suri-suri dan anggota-anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat perkhidmatan;

    7.2 Adalah untuk menggalakkan perkembangan pengetahuan kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli Persatuan menerusi program-program kemajuan diri, ceramah-ceramah, bengkel-bengkel, seminar-seminar dan kursus;

    7.3 Adalah untuk menggalak dan melibatkan ahli-ahli dalam aktiviti-aktiviti bagi faedah ahli dan keluarga mereka serta masyarakat;

    7.4 Adalah untuk menganjurkan program-program untuk memungut derma dan sumbangan bagi aktiviti-aktiviti PUSPANITA;

    7.5 Adalah untuk mengadakan program-program untuk mengeratkan perhubungan dengan lain-lain pertubuhan wanita yang berdaftar, demi memupuk semangat persefahaman dan menambahkan pengetahuan melalui rancangan-rancangan pembangunan negara khususnya yang berkaitan dengan kaum wanita di negara ini;

    7.6 Adalah boleh memiliki tanah, bangunan-bangunan dan aset-aset yang lain sebagaimana yang diperlukan melalui cara memohon kepada Kerajaan, membeli, menyewa dan sebagainya. Mana-mana cawangan juga boleh memiliki tanah, bangunan dan aset-aset atau sebagainya untuk kebajikan dan faedah ahli; dan

    7.7 Adalah untuk menyertai aktiviti perniagaan dan pelaburan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang diperolehi oleh Persatuan ini dibelanjakan untuk tujuan Persatuan.

  • PERKARA 8 – KEAHLIAN

    8.1 Kategori dan kriteria ahli

        8.1.1 Ahli Biasa Keahlian adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia yang  terdiri daripada:

            (a) Suri anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan di Malaysia;

            (b) Anggota wanita di semua peringkat kumpulan Perkhidmatan Awam Malaysia;

            (c) Suri anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan yang telah bersara atau meninggal dunia;

            (d) Suri anggota Perkhidmatan Awam yang diceraikan sehingga keahlian mereka tamat tempoh dan memperolehi keahlian sebagai Ahli Seumur Hidup; dan

            (e) Anggota wanita Perkhidmatan Awam yang telah bersara.

                8.1.2 Ahli Bersekutu

                         (a) Ahli Bersekutu terbuka kepada:

                (i)    Pekerja wanita yang digajikan oleh Persatuan; dan

                (ii)   Ahli-ahli dari agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan.

     

            (b) Ahli bersekutu layak menikmati keistimewaan seperti juga ahli-ahli biasa, berhak bersuara tetapi tidak berhak untuk mengundi atau memegang mana-mana jawatan dalam Persatuan;

            (c) Keahlian seorang ahli bersekutu dalam kategori

            (a)(i) di atas akan luput dengan sendirinya apabila ia berhenti atau  diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Persatuan, dan

            (d) Keahlian seseorang ahli bersekutu dalam kategori

            (a) (ii) di atas akan luput dengan sendirinya apabila suaminya berhenti atau diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Kerajaan.

     

               8.1.3 Ahli Gabungan

            (a) Ahli gabungan terbuka kepada Persatuan wanita yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, bertujuan untuk bekerjasama dan mengeratkan hubungan silaratulrahim; dan

            (b) Keahlian ahli gabungan akan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Tertinggi berdasarkan permohonan di dalam borang yang disediakan.

             8.1.4 Ahli Kehormat

            (a) Yang DiPertua dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja Tertinggi boleh melantik ahli kehormat di kalangan wanita-wanita yang difikirkan boleh memberi sumbangan yang boleh memanfaatkan Persatuan. Ahli kehormat tidak mempunyai kuasa untuk mengundi di dalam apa-apa mesyuarat.

     

            8.1.5 Ahli Seumur Hidup

            (a) Ahli seumur hidup terdiri daripada ahli-ahli biasa yang membayar yuran seperti yang ditetapkan seperti berikut:

                                         (i) Ahli biasa; perkhidmatan awam

                                         (ii) Suri anggota perkhidmatan awam yang diceraikan;

            (iii) Suri anggota perkhidmatan awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan yang telah bersara atau meninggal dunia;

            (iv) Anggota wanita perkhidmatan awam yang bersara dan telah tamat keahlian biasanya; dan

            (v) Ahli-ahlinya dari agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan;

            (b) Ahli Seumur Hidup, kecuali “c” dan “d” mempunyai hak-hak yang sama seperti ahli biasa, iaitu berhak menghadiri mesyuarat, bersuara dan mengundi di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan, Mesyuarat Khas atau Mesyuarat-mesyuarat Agung di peringkat Cawangan dan boleh dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Cawangan. Lima (5) orang perwakilan daripada Ahli Seumur Hidup dipilih untuk menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan.

            (c) Ahli Seumur Hidup, daripada agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan, akan terus kekal menjadi ahli tetapi tidak berhak mengundi atau memegang mana-mana jawatan dalam Persatuan; dan

            (d) Bekas Yang DiPertua secara automatik menjadi Ahli Seumur Hidup.

Hakcipta Terpelihara © 2022 Puspanita Negeri Perak. Kemaskini : 23/03/23 • Jumlah Pelawat : 21286928